Monday, December 6, 2010

Friday, September 3, 2010

Friday, September 18, 2009

Wednesday, July 22, 2009

Saturday, June 13, 2009

Hari ini buat pertama kali, Farah membuka gerai Mufin Manja di Karnival Kerjaya Sekolah Menengah Seri Ketumbar, sekolah Farah dulu. Sudah lama Cikgu Maimunah mewarwarkan mengenai karnival ini kepada Farah. Cikgu Maimunah ialah pelanggan tetap Mufin Manja.
Bagi mempromosikan Mufin Manja, Farah meminta bantuan ibu menjahitkan kostum maskot. Farah juga mengupah Farez dan Faez sebagai maskot. Mereka merayau-raua di sekitar tapak karnival menyebarkan brosur Mufin Manja dan memberikan belon percuma kepada kanak-kanak. Di gerai Mufin Manja pula, Farah memberikan kopi percuma kepada setiap pembeli Mufin Manja. 

Setiap orang di gerai Mufin Manja mempunyai tugas mereka masing-masing. Ayah membantu membuat dan memberikan kopi kepada pelanggan. Ibu menjadi tukang bakar mufin selepas Farah membancuh adunan. Tugas Farah pula ialah melayan pelanggan yang datang berkunjung.
Kami dikejutkan dengan kehadiran Wakil Rakyat daerah Selasih iaitu Yang Berhormat Dato’ Hassan. Farah berasa bangga (dan malu juga) dengan kunjungan YB. Mujur Farah ada menyediakan buah tangan bagi pengunjung VIP. Buah tangan Mufin Manja, Farah letakkan di dalam beg kertas yang comel. 

Mufin Manja habis terjual di Karnival Kerjaya. Farah sungguh gembira. Penat yang kami rasai seolah-olah tidak seberapa melihat akan sambutan yang diberikan. Sebelum kami pulang, Encik Syukor, pegawai daripada kementerian datang ke gerai. Beliau menjemput Farah membuka gerai di tapak Festival Kerjaya di Daerah Pegaga pada bulan hadapan. Mereka turut menjemput Farah sebagai tetamu semasa slot Bual Bicara Kerjaya nanti. Berdebar betul hati Farah mendengar jemputan itu. 

Wah! Nampaknya Farah kena berlatih bercakap di hadapan cermin. Tak mahulah teragak-agak dan gugup semasa sesi itu nanti. Farah mesti terampil bagi menunjukkan imej yang baik kepada Mufin Manja.

Farah bersyukur kerana keluarga Farah amat memberikan sokongan kepada Farah bagi menjayakan perniagaan Mufin Manja setakat hari ini. Terima ayah, ibu, Farez dan Faez!”

Friday, May 29, 2009

Tawaran belajar

Siang tadi Farah menerima surat tawaran daripada UiTM, menawarkan program Diploma in Food Management. Farah memang teruja dan gembira mendapat tawaran menyambung pelajaran. Sebelum Farah memulakan Mufin Manja, Farah memang tidak mengharap langsung apa-apa peluang bagi melanjutkan pelajaran. Maka sebab itu Farah memulakan perniagaan mufin. 

Setelah beberapa bulan mengusahakan Mufin Manja, Farah sudah nampak sedikit kejayaan yang menjadi pendorong kepada Farah supaya berusaha lebih gigih bagi merealisasikan impian Farah membuka kilang pastri. 

Farah tidak mahu tersilap membuat keputusan. Maka Farah berbincang dengan ibu dan ayah. Ibu menyuruh Farah menerima tawaran belajar kerana bagi ibu, kelayakan akademik lebih berharga pada hari ini. Mufin Manja boleh disambung semula selepas Farah menggenggam sekeping diploma nanti. Tetapi bagi Farah, Mufin Manja sedang rancak. Amat sayang hendak dihentikan separuh jalan. Semasa Farah hendak memulakannya dahulu pun, sukar. Bila sudah agak selesa, sayang pula hendak ditinggalkan.

Pendapat ayah pula lain daripada ibu. Ayah membiarkan Farah memikirkan sendiri keputusan Farah. Penat juga bersoal jawab dengan ayah. Macam kena soal siasat dengan polis pencen pula. Akhirnya Farah mengambil keputusan mahu meneruskan Mufin Manja. Farahin mahu menjadi usahawan yang berjaya.

Sunday, May 10, 2009

Sahabat sejati

Tadi Farah bertemu dengan dua orang sahabat baik semasa di sekolah, Jalina dan Katerina. Mereka inilah sumber kekuatan Farah. Mereka sering menasihatkan Farah supaya meneruskan cita-cita Farah menjadi usahawan mufin. Farah amat bertuah mempunyai sahabat sebaik mereka. Tidak lama lagi, Jalina bakal melanjutkan pengajian di UUM. Katerina pula bakal ke USM. Masing-masing pasti sibuk dengan tugas sebagai pelajar IPT. Farah tumpang gembira atas kejayaan mereka. Walaupun kami tidak boleh bertemu sekerap selalu, Farah berharap persahabatan kami kekal sampai ke akhirnya.  

Sunday, April 19, 2009

Mrs Teapot

Bagi sesiapa yang pernah berjumpa dengan Farah, tentu tahu bagaimana Farah yang sebenarnya. Farah berbadan gempal dan tinggi. Silap hari bulan, orang boleh menyangka Farah ‘mak orang’. Disebabkan tubuh badan Farah yang besar, Farah sering diejek semasa di sekolah menengah. Ada sekumpulan pelajar lelaki yang gemar menggelar Farah sebagai Mrs. Teapot. Farah berasa amat malu dengan panggilan itu.

Tetapi hari ini, setelah kejayaan Farah mengusahakan Mufin Manja, Farah sudah tidak berasa malu dengan gelaran itu. Malah Farah menganggap nama Mrs. Teapot itu membantu mempromosikan Mufin Manja. Tentu bekas rakan-rakan sekolah Farah bertanya, Mufin Manja? Yalah, Mrs. Teapot sudah menjadi usahawan mufin. Oh ya? Jadi perbualan seperti ini berterusan seperti surat berantai. Mereka mengusik Farah sekali gus mempromosikan Mufin Manja.

Farah menganggap kekurangan Farah (kerana berbadan gempal dan tidak menarik) bukan halangan bagi Farah mengukir kejayaan. Kejayaan ialah milik sesiapa sahaja yang ingin berusaha.

Usaha tangga kejayaan!”

Saturday, April 18, 2009

Mufin vs Cupcake

Apakah perbezaan antara mufin dengan kek cawan? 

Saya sering diajukan soalan ini oleh pembeli Mufin Manja mahupun pelanggan yang berpotensi menempah Mufin Manja. Perbezaan paling mudah ialah kek cawan mempunyai frosting atau ising di atasnya. Manakala mufin tidak dihiasi dengan frosting atau ising. Walau bagaimana pun, kebelakangan ini sudah ada mufin yang dihias dengan frosting mengikut kehendak pelanggan. Beberapa pelanggan Mufin Manja pernah meminta supaya mufin tempahan mereka dihiasi dengan frosting dan parutan keju. 

Selain itu, kandungan bahan membuat mufin dan kek cawan juga berbeza. Bahan asas  membuat mufin terdiri daripada 2 cawan tepung, 2-4 camca besar gula, 2 ½  camca teh serbuk penaik, ½ camca teh garam, 1 biji telur, ¼ cawan minyak, lelemak atau mentega, dan 1 cawan susu. Apabila nisbah lemak, gula dan telur dua kali ganda daripada bahan asas membuat mufin, maka yang terhasil ialah kek cawan. 

Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai perbezaan antara mufin ddengan kek cawan, boleh lawati laman blog berbahasa Inggeris ini: Cakespy: Cupcakes VS Muffin.

Monday, March 23, 2009

Komen negatif

Sejak kebelakangan ini, Farah sering menerima komen negatif mengenai Mufin Manja. Farah tak menafikan yang Mufin Manja mungkin tidak sehebat kek cawan ataupun mana-mana pastri yang lain. Mufin mempunyai tarikan dan kelemahannya bergantung pada tekak yang merasa. Ada orang suka makan benda manis, ada orang suka makan benda yang masam. Terpulang kepada lidah masing-masing.

Cuma yang Farah ingin sampaikan ialah, sekiranya ada pelanggan Mufin Manja yang tidak berpuas hati dengan kualiti mufin, sila beritahu Farah. Farah hargai sebarang komen membina yang mereka mahu berikan. Tak usah kita mengutuk secara terang-terangan semata-mata mahu memalukan dan menjatuhkan air muka orang lain. Usah sorok batu sembunyi tangan. Farah lebih menghargai teguran bersemuka.

Monday, March 16, 2009

Mufin Manja

Senarai Mufin Manja:
Mufin coklat
Mufin vanila
Mufin cip coklat
Mufin pisang
mufin pisang strawberi
Mufin mangga
Mufin karot
Mufin karot salju
Mufin labu 
Mufin oren 
Mufin nanas 
Mufin lemon dengan biji popi 
Mufin kurma 
Mufin kurma oren 
Mufin beri biru 
Mufin mocha 
Mufin puding roti 
Mufin mentega susu dengan beri 
Mufin jagung, mufin keju 
Mufin krim keju

Saturday, February 21, 2009

Adat berniaga

Setiap pekerjaan yang kita lakukan, pasti ada cabaran dan halangan. Sama ada kecil ataupun besar. Pasti ada orang yang tidak berpuas hati dengan apa yang kita lakukan. Sejak menjadi usahawan mufin, Farah banyak menerima teguran dan komen daripada pelanggan. Farah menganggap komen dan teguran yang diberikan sebagai sesuatu yang positif. Namun ada juga komen dan teguran yang bertujuan melemahkan semangat Farah. 

Bagi diri Farah, Farah lebih suka mendengar dan berdiam diri. Jika Farah melawan, orang yang berniat tidak baik itu boleh menggunakan kelemahan Farah bagi memalukan diri Farah sendiri. Jadi ada baiknya Farah diam sahaja. Kalau hendak membalas, biarlah dengan fakta, bukan dengan perasaan.

Monday, February 2, 2009

Ketuhar baharu

Minggu ini Mufin Manja melangkah setapak lagi. Setelah berbincang dengan ayah, Farah bercadang hendak menambah sebuah lagi ketuhar elektrik bagi menampung permintaan harian tempahan mufin. Bagi memudahkan Farah mengira untung dan rugi, Farah sudah menyediakan akaun untung rugi dan simpan kira-kira setiap bulan. Dengan cara ini, mudah bagi Farah melihat prestasi jualan Mufin Manja setiap bulan. 

Tambahan pula, dengan adanya akaun untung rugi dan simpan kira-kira, mudah bagi Farah meyakinkan Menteri Kewangan pertama keluarga Farah, iaitu ayah, akan rancangan Farah mahu menambah ketuhar elektrik. Setiap perniagaan yang kita jalankan, sama ada kecil ataupun besar, penyediaan akaun untung rugi dan simpan kira-kira adalah sangat penting. Bagi perniagaan yang besar, akaun untung rugi dan simpan kira-kira boleh dijadikan jaminan dan bukti kepada pihak bank jika ingin membuat pinjaman. Oleh itu, akaun untung rugi dan simpan kira-kira perlu dikemas kini setiap hari.

Friday, January 16, 2009

Mufin Inggeris ataupun Amerika

Mufin ala Amerika berbeza dengan mufin ala Inggeris. Perbezaannya adalah dari segi bahan yang digunakan sewaktu menyediakan juadah itu. Mufin ala Amerika lebih banyak menggunakan soda penaik dan serbuk penaik. Manakala mufin ala Inggeris berbentuk doh yang dinaikkan menggunakan yis. 

Mufin ala Amerika boleh dikatakan kacukan antara roti dengan kek. Sementelah, mufin ala Amerika boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu, mufin kek dan mufin roti. Setiap jenis mufin mempunyai teknik adunan yang berbeza. Bagi membuat mufin roti, kandungan gula dan mentega harus dikurangkan. Manakala mufin kek pula menggunakan kandungan gula dan mentega yang banyak. 

Adunan mufin  yang paling asas menggunakan bahan-bahan seperti tepung, gula, serbuk penaik atau sida penaik, telur, lelemak (cecair atau pepejal) dan susu (susu mentega, yogurt, krim masam). Boleh juga ditambah bahan-bahan lain seperti kepingan buah-buahan, kekacang, coklat, esen vanila, rempah, cornmeal, bran dan oat. Jika mahukan mufin yang lebih menyelerakan dan nampak menarik, serbuk rempah, tepung atau gula halus boleh ditabur di atas mufin. Krim juga boleh disapu ke atas mufin.

Sumber dipetik daripada laman web www.joyofbaking.com/muffins.