Friday, May 29, 2009

Tawaran belajar

Siang tadi Farah menerima surat tawaran daripada UiTM, menawarkan program Diploma in Food Management. Farah memang teruja dan gembira mendapat tawaran menyambung pelajaran. Sebelum Farah memulakan Mufin Manja, Farah memang tidak mengharap langsung apa-apa peluang bagi melanjutkan pelajaran. Maka sebab itu Farah memulakan perniagaan mufin. 

Setelah beberapa bulan mengusahakan Mufin Manja, Farah sudah nampak sedikit kejayaan yang menjadi pendorong kepada Farah supaya berusaha lebih gigih bagi merealisasikan impian Farah membuka kilang pastri. 

Farah tidak mahu tersilap membuat keputusan. Maka Farah berbincang dengan ibu dan ayah. Ibu menyuruh Farah menerima tawaran belajar kerana bagi ibu, kelayakan akademik lebih berharga pada hari ini. Mufin Manja boleh disambung semula selepas Farah menggenggam sekeping diploma nanti. Tetapi bagi Farah, Mufin Manja sedang rancak. Amat sayang hendak dihentikan separuh jalan. Semasa Farah hendak memulakannya dahulu pun, sukar. Bila sudah agak selesa, sayang pula hendak ditinggalkan.

Pendapat ayah pula lain daripada ibu. Ayah membiarkan Farah memikirkan sendiri keputusan Farah. Penat juga bersoal jawab dengan ayah. Macam kena soal siasat dengan polis pencen pula. Akhirnya Farah mengambil keputusan mahu meneruskan Mufin Manja. Farahin mahu menjadi usahawan yang berjaya.

No comments:

Post a Comment