Friday, May 29, 2009

Tawaran belajar

Siang tadi Farah menerima surat tawaran daripada UiTM, menawarkan program Diploma in Food Management. Farah memang teruja dan gembira mendapat tawaran menyambung pelajaran. Sebelum Farah memulakan Mufin Manja, Farah memang tidak mengharap langsung apa-apa peluang bagi melanjutkan pelajaran. Maka sebab itu Farah memulakan perniagaan mufin. 

Setelah beberapa bulan mengusahakan Mufin Manja, Farah sudah nampak sedikit kejayaan yang menjadi pendorong kepada Farah supaya berusaha lebih gigih bagi merealisasikan impian Farah membuka kilang pastri. 

Farah tidak mahu tersilap membuat keputusan. Maka Farah berbincang dengan ibu dan ayah. Ibu menyuruh Farah menerima tawaran belajar kerana bagi ibu, kelayakan akademik lebih berharga pada hari ini. Mufin Manja boleh disambung semula selepas Farah menggenggam sekeping diploma nanti. Tetapi bagi Farah, Mufin Manja sedang rancak. Amat sayang hendak dihentikan separuh jalan. Semasa Farah hendak memulakannya dahulu pun, sukar. Bila sudah agak selesa, sayang pula hendak ditinggalkan.

Pendapat ayah pula lain daripada ibu. Ayah membiarkan Farah memikirkan sendiri keputusan Farah. Penat juga bersoal jawab dengan ayah. Macam kena soal siasat dengan polis pencen pula. Akhirnya Farah mengambil keputusan mahu meneruskan Mufin Manja. Farahin mahu menjadi usahawan yang berjaya.

Sunday, May 10, 2009

Sahabat sejati

Tadi Farah bertemu dengan dua orang sahabat baik semasa di sekolah, Jalina dan Katerina. Mereka inilah sumber kekuatan Farah. Mereka sering menasihatkan Farah supaya meneruskan cita-cita Farah menjadi usahawan mufin. Farah amat bertuah mempunyai sahabat sebaik mereka. Tidak lama lagi, Jalina bakal melanjutkan pengajian di UUM. Katerina pula bakal ke USM. Masing-masing pasti sibuk dengan tugas sebagai pelajar IPT. Farah tumpang gembira atas kejayaan mereka. Walaupun kami tidak boleh bertemu sekerap selalu, Farah berharap persahabatan kami kekal sampai ke akhirnya.