Saturday, February 21, 2009

Adat berniaga

Setiap pekerjaan yang kita lakukan, pasti ada cabaran dan halangan. Sama ada kecil ataupun besar. Pasti ada orang yang tidak berpuas hati dengan apa yang kita lakukan. Sejak menjadi usahawan mufin, Farah banyak menerima teguran dan komen daripada pelanggan. Farah menganggap komen dan teguran yang diberikan sebagai sesuatu yang positif. Namun ada juga komen dan teguran yang bertujuan melemahkan semangat Farah. 

Bagi diri Farah, Farah lebih suka mendengar dan berdiam diri. Jika Farah melawan, orang yang berniat tidak baik itu boleh menggunakan kelemahan Farah bagi memalukan diri Farah sendiri. Jadi ada baiknya Farah diam sahaja. Kalau hendak membalas, biarlah dengan fakta, bukan dengan perasaan.

Monday, February 2, 2009

Ketuhar baharu

Minggu ini Mufin Manja melangkah setapak lagi. Setelah berbincang dengan ayah, Farah bercadang hendak menambah sebuah lagi ketuhar elektrik bagi menampung permintaan harian tempahan mufin. Bagi memudahkan Farah mengira untung dan rugi, Farah sudah menyediakan akaun untung rugi dan simpan kira-kira setiap bulan. Dengan cara ini, mudah bagi Farah melihat prestasi jualan Mufin Manja setiap bulan. 

Tambahan pula, dengan adanya akaun untung rugi dan simpan kira-kira, mudah bagi Farah meyakinkan Menteri Kewangan pertama keluarga Farah, iaitu ayah, akan rancangan Farah mahu menambah ketuhar elektrik. Setiap perniagaan yang kita jalankan, sama ada kecil ataupun besar, penyediaan akaun untung rugi dan simpan kira-kira adalah sangat penting. Bagi perniagaan yang besar, akaun untung rugi dan simpan kira-kira boleh dijadikan jaminan dan bukti kepada pihak bank jika ingin membuat pinjaman. Oleh itu, akaun untung rugi dan simpan kira-kira perlu dikemas kini setiap hari.