Saturday, June 13, 2009

Hari ini buat pertama kali, Farah membuka gerai Mufin Manja di Karnival Kerjaya Sekolah Menengah Seri Ketumbar, sekolah Farah dulu. Sudah lama Cikgu Maimunah mewarwarkan mengenai karnival ini kepada Farah. Cikgu Maimunah ialah pelanggan tetap Mufin Manja.
Bagi mempromosikan Mufin Manja, Farah meminta bantuan ibu menjahitkan kostum maskot. Farah juga mengupah Farez dan Faez sebagai maskot. Mereka merayau-raua di sekitar tapak karnival menyebarkan brosur Mufin Manja dan memberikan belon percuma kepada kanak-kanak. Di gerai Mufin Manja pula, Farah memberikan kopi percuma kepada setiap pembeli Mufin Manja. 

Setiap orang di gerai Mufin Manja mempunyai tugas mereka masing-masing. Ayah membantu membuat dan memberikan kopi kepada pelanggan. Ibu menjadi tukang bakar mufin selepas Farah membancuh adunan. Tugas Farah pula ialah melayan pelanggan yang datang berkunjung.
Kami dikejutkan dengan kehadiran Wakil Rakyat daerah Selasih iaitu Yang Berhormat Dato’ Hassan. Farah berasa bangga (dan malu juga) dengan kunjungan YB. Mujur Farah ada menyediakan buah tangan bagi pengunjung VIP. Buah tangan Mufin Manja, Farah letakkan di dalam beg kertas yang comel. 

Mufin Manja habis terjual di Karnival Kerjaya. Farah sungguh gembira. Penat yang kami rasai seolah-olah tidak seberapa melihat akan sambutan yang diberikan. Sebelum kami pulang, Encik Syukor, pegawai daripada kementerian datang ke gerai. Beliau menjemput Farah membuka gerai di tapak Festival Kerjaya di Daerah Pegaga pada bulan hadapan. Mereka turut menjemput Farah sebagai tetamu semasa slot Bual Bicara Kerjaya nanti. Berdebar betul hati Farah mendengar jemputan itu. 

Wah! Nampaknya Farah kena berlatih bercakap di hadapan cermin. Tak mahulah teragak-agak dan gugup semasa sesi itu nanti. Farah mesti terampil bagi menunjukkan imej yang baik kepada Mufin Manja.

Farah bersyukur kerana keluarga Farah amat memberikan sokongan kepada Farah bagi menjayakan perniagaan Mufin Manja setakat hari ini. Terima ayah, ibu, Farez dan Faez!”

No comments:

Post a Comment